BAB 9


        “Bos.......” Panggil Meisya Raziela manja. Dia duduk juga di kerusi biru depan Johan. Nak tak nak dia perlu luahkan. Apa-apa pun tidak ada, termasuk habuk! Haprak!

                “Em.....?” Johan ralit menatap suratkhabar hari ini.

                “Bos....” Panggil Meisya Raziela lagi, kali ini nadanya tegas dan mencuri perhatian.

Johan menjeling wartawan muda dan comel di depannya acuh tidak acuh. “Apa? Cakap ajelah!”

                “Hari ni mood bos baik tak?” Dia cuba mengampu lagi. Lebih baik dia tidak usah mulakan semua, bosnya juga tidak bertanyakan tentang itu. Barangkali lelaki itu sudah lupa apa yang mereka pernah janjikan. “Ahh, tak ada apa-apa lah...Cuma nak pastikan bos sihat walafiat aje...” Meisya Raziela tersengih, perlahan-lahan dia bangun mahu beredar.

            “Meisya....” Panggil Johan perlahan.

             Meisya Raziela menahan debar. Lambat-lambat dia menoleh, tersengih seperti kerang busuk.

            “Bos.....Jangan...lah marah....” Tangannya disatukan memohon simpati.

            “You memang!” Johan mencapai suratkhabar di atas meja, sebelum digulung mahu dilontarkan ke arah gadis itu.

Meisya Raziela menutup muka, sebiji tepat suratkhabar itu mengenai tangannya.  “Apa ni bos....”

            “Apa bos, bos?! You pergi cari sekarang berita diorang....!” Dia tergesa-gesa berdiri hendak mengejar.

            “Diorang muda lagi lah, tak ada masa nak fikir semua tu....” Meisya Raziela melarikan diri ke pintu, mahu keluar.

Johan mahu mengejar, “you apa tahu! you bukan pengurus diorang, bukan anak bini diorang! I bagi you tempoh, jangan balik selagi tak dapat berita! Apa susah sangat you ni Meisya, konon peminat Khaireel Farhan, nak temuramah pun susah?!”





            Perlawanan skuad negara menentang Jepun baru sahaja berakhir. Pemain-pemain Malaysia sibuk bertepuk tampar meraikan kemenangan. Khaireel Farhan meneguk air di dalam botol yang diambil dari tepi padang sebaik sahaja permainan tamat. Wajahnya selamba, tidak berperasaan. Hanya senyum nipis dilemparkan bila disapa dan dipeluk rakan-rakannya.

            “Farhan...” Wartawan berebut-rebut mendapatkan Khaireel Farhan.

            Penjaga gol skuad negara itu mengukir senyum manis.

            “Adakah kemenangan ini sudah dijangka? Bagaimana dengan perlawanan akan datang, ada apa-apa strategi? Pendapat awak tentang perlawanan malam ini bagaimana?” Bertubi-tubi soalan keluar dari bibir mereka.

            “Er, saya bersyukur dengan kemenangan malam ni. Ia atas usaha semua pemain dan jurulatih. Strategi, kami akan cuba buat yang terbaik di masa-masa akan datang dan memperbaiki apa yang kurang.... Ahh, permainan malam ini mencabar kekuatan kami, walaubagaimanapun, ia memberi banyak makna untuk kami belajar dan memperkembangkan prestasi...” Ringkas jawapannya selaku kapten pasukan. Khaireel Farhan tunduk, mahu beredar. Dia memandang muka-muka di depannya yang seakan faham dan sudah selesai menyoal.

            Sepasang mata kecil itu seperti ingin bertanyakan sesuatu.

        “Er..ada apa-apa lagi..?” Soal Khaireel Farhan. Segelintir wartawan hanya memandang sesama sendiri. Meisya Raziela terkaku. Dia terus menerpa ke arah lelaki itu sebaik teringat kewujudannya di situ untuk apa.

            “Farhan, nanti dulu...” Meisya Raziela menarik nafas. Penjaga gol yang ingin beredar itu sudah berdiri tegak mengadapnya.

Belum sempat Meisya Raziela menyoal, tangan Khaireel Farhan ditarik rakan-rakannya. Mereka mahu bergambar. Nak tak nak lelaki itu hanya menurut. Meisya Raziela menahan geram, dia menggigit bibir ketat. Haish...Kenapa susah sangat hendak bercakap. Temuramah saja, bukan kena buat apa pun, apa yang dia takut? Tengok, sia-sia peluang terlepas. Meisya Raziela menghentakkan kaki kuat. Perbuatannya hanya dipandang lucu wartawan-wartawan lain yang sudah ingin beredar.