BAB 1


Kelihatan semua orang gelisah menanti bola ditendang pihak lawan. Dia hanya mampu menahan getar, air liur yang tersekat di tekak ditolak perlahan menyusuri salur nafas. Mata sepetnya masih pada bola putih di atas padang yang bila-bila masa sahaja dilayangkan membolosi gawang gol pasukan kebangsaan. Jaringan ini penentu segalanya, bolos bermakna kemenangan bukan milik mereka, terkeluar, maka lahirlah seorang wira sekali lagi malam ini.

                Senyumannya nipis sinis penuh yakin, serentak bola ditendang. Dia pantas menampan bola ke tepi. Sepantas kilat pandangannya di arahkan ke dalam gol, bola tidak berjaya memasuki gawang gol, bermakna pasukan kebangsaan menang. Dia terus berlari ke tepi padang, memeluk pemain-pemain lain dan jurulatih. Jeritan kegembiraan memenuhi stadium bola sepak di pinggir bandar Kuala Lumpur itu. Akhirnya selepas hampir dua jam bertaruh dan berhempas-pulas, kemenangan jua dibawa pulang. Dia memandang tempat duduk penonton, wajah-wajah kegembiraan itu cukup memberi seribu satu makna sebagai penjaga gol pasukan bola sepak negara. Tangannya diangkat tinggi, amanah yang diberi sudah selesai! Dia menentang dada langit bangga. Penjaga gol terhebat, nafas pasukan bola sepak kebangsaan, Khaireel Farhan senyum puas!





            Bunyi kamera ditekan bertalu-talu memberi irama kemenangan. Meisya Raziela masih belum puas menekan punat kamera, wajah dan gerak-geri itu tidak mampu dilepaskan walau sesaat. Setiap tarikan nafasnya penuh dengan keyakinan, setiap titisan peluh yang jatuh menghempas bumi, menceritakan seluruh semangat dan keletihan. Setiap tendangan dan usapan di muka jelas menunjukkan ketakutan menerima kekalahan atau mungkin juga kegembiraan bakal menggenggam piala kemenangan.

            Meisya Raziela mula melangkah ke hujung pagar, bila wajah itu semakin menjauh ke tepi. Wartawan di sebelahnya hanya menoleh sekilas, bila bahu mereka bersentuhan.  Ada cebikan dan raut kurang selesa yang terluah. Ahh, tidak mahu dia peduli semua itu. Yang penting sekarang Khaireel Farhan, hanya wajah itu yang dikejar setiap saat, setiap masa.

            Raut kegembiraan Khaireel Farhan di tepi padang ditatap asyik. Dia terlalu sempurna.. Tiada kata-kata mampu menggambarkan lelaki itu. Dia pemain muda yang dilatih dengan baik, dia pemain yang berdiri di atas kaki dan kehebatan sendiri. Dia....penuh berwibawa, yakin dan kukuh. Dia pemain nombor satu yang meletakkan seluruh kepercayaan dan semangat setiap orang di dalam diri.

            Meisya Raziela senyum nipis, jemarinya diturunkan, hanya memegang kamera longlai, pandangannya saja yang menjauh ke tepi padang. Senyumannya tidak lagi melebar, hanya sekadar memenuhi bibir, sepi. Benarlah...dia terlalu sempurna....

            Kelihatan Khaireel Farhan sibuk berbual dengan jurulatih dan teman-teman. Pelbagai ekspresi ditunjukkan di wajah itu. Sekejap dia tunduk merenung kaki sendiri, penuh rasa syukur dan terharu. Seketika dia ketawa kecil dan menguntum senyum manis, penuh rasa teruja yang tidak sempat dihabiskan di gelanggang.

            “Yey!” Meisya Raziela menggenggam penumbuk keazaman, diangkat paras dada. Akhirnya pasukan negara beroleh kemenangan. Senyumnya melebar. Dia berjalan keluar dari dalam stadium. Tugasnya sehari suntuk selesai sudah. Dia perlu pulang ke rumah dan menggunakan semua gambar dan setiap pengamatan yang ada untuk memberikan berita sukan terbaik. Opps! Ia sepatutnya berita Khaireel Farhan terbaik! Ya.. Khaireel Farhan... Bintang bola sepak negara yang sedang menyinar..