BAB 2




            “Cheer...!” Mereka senyum riang. Cahaya putih berkerlipan di dalam bilik jamuan.  Satu-persatu kamera ditatap penuh mesra. Gambar juara itu akan disimpan sebagai kenangan, mungkin juga untuk menambahkan semangat lagi di masa akan datang.

            “Farhan, okey?” Jurulatih Kim menaikkan ibu jari, menyoal penjaga gol pasukannya.

            “Okey, coach!” Jawab lelaki itu pantas. 

            “Bagus...” Jurulatih Kim menepuk-nepuk  bahu Khaireel Farhan penuh bangga. Dia berjasa besar  dalam perlawanan malam ini, jika bola penalti tadi tidak berjaya ditampan, maka negara tidak berpeluang pun untuk menjulang juara. “Berehat secukupnya....” Senyumnya melebar. Lambat-lambat dia berlalu ke meja Dato’ Shafie, menteri belia dan sukan yang turut hadir meraikan kejayaan pasukan bola sepak negara, menghargai pengorbanan dan usaha pemain.

            Khaireel Farhan hanya tunduk akur. Langkahnya diatur ke sudut tepi bilik, sambil memegang segelas air. Sesekali diteguk perlahan, seketika dia menggoyang-goyangkan gelas. Pandangannya meliar jauh ke seluruh ruang bilik jamuan. Tiba-tiba bahunya dipukul kuat.

            “Apasal wira kita seorang-seorang kat sini? Teringat makwe kat kampung ke..?” Gelak tawa rakan-rakannya riuh-rendah.

            “Rindu kat mak ya....” Usik Faez.

         “Kacau ar korang ni...aku baru nak mengelamun...” Rungut penjaga gol pasukan kebangsaan itu separuh merajuk, bibirnya masih tersungging senyuman manis. 

            “Nak mengelamun apa lagi? Kita dah menang beb...Korang tahu tak, aku nervous gila masa diorang nak sepak bola. Nasib baik ada Farhan kita ni, kan..kan..” Razif ketawa kecil, ditumbuk dada bidang Khaireel Farhan lembut.

Khaireel Farhan ketawa kecil, dia menolak-nolak tangan kawan-kawannya yang mahu menyentuh dagu dan tubuhnya, begitu asyik mengusik. Dia mengajuk cara percakapan Razif yang kebudak-budakan. “Bukan jasa aku aje, korang pun dah bertungkus-lumus menjaringkan satu gol seri. Kalau tak ada gol, tak adalah penalti....betul tak? Betul tak?”

            Gelak tawa dan usikan jelas memenuhi ruang bilik. Pandangan dan pujian mesra Dato’s Shafie bersama jurulatih serta orang-orang kuat persatuan bola sepak negara hanya dibalas senyuman manis. Kemenangan ini adalah permulaan pada perjalanan yang masih panjang. Tiada hati yang gentar, cuma keyakinan yang menjulang tinggi untuk membina nama sekali lagi pada pertandingan akan datang... Hanya mahu berada di tempat yang tertinggi!





            Muka surat kosong di sebelah diselak perlahan. Dia masih mahu menulis bait-bait perkataan yang bersarang di kotak fikiran. Hari ini hari yang memenatkan dan satu hari yang terlalu panjang waktunya. Dari pagi dia sudah sibuk-sibuk di pejabat untuk persiapan ke waktu malam di stadium. Bila perlawanan bermula, hanya duduk di tepi padang terus memerhati. Fokus pada perlawanan, pada setiap tendangan, dan ekspresi. Akhirnya selesai!

            Meisya Raziela senyum puas, “Khaireel Farhan, bergaya betul awak masa tendang bola tadi..ee..”

      Tangannya sudah berhenti menulis. Dia memandang wajah di skrin komputer bimbit, sambil menongkat dagu letih. Hanya mahu merenung gambar itu sepuas-puasnya. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Rupanya dia leka menulis diari sendiri sehingga lupa artikel tentang bola sepak malam ini yang akan disiarkan besok.

            “Baik siapkan kerja, kalau tak siap ulasan ni sebelum pukul 1 pagi, habislah besok, jawabnya kena buang kerja lah cik Meisya...” Meisya Raziela senyum nipis, meluahkan amaran kepada diri sendiri. Dia bingkas menutup buku biru di atas meja yang sedari tadi ditatap dan dilakar mukasurat kosongnya. Diari peribadi  itu dimasukkan ke dalam beg kerja. Duduk dalam situ baik-baik, sekarang dia perlu bekerja. Jelingannya terlontar layu, penuh kelembutan.

        Rancak jemarinya menari di atas huruf-huruf komputer bimbit. Sesekali dia menggigit bibir mencari penyataan yang sesuai menggambarkan tingkah dan watak Khaireel Farhan. Setiap gambar dirungkai dan dicerminkan sepenuh perasaan. Wahai pembaca, nikmatilah tulisan ini sebaiknya, getus hati kecil Meisya Raziela.