BAB 5




            “Assalamualaikum.....” Beg baju yang tersangkut di bahu diletakkan atas tangga rumah. Ditanggalkan cermin mata hitam yang tergantung di hidung mancungnya. Pandangannya menatap pintu rumah yang tertutup rapat. Mana pula orang tuanya, tidak ada di rumah kah?  “Assalamualaikum....mak..” Panggil Khaireel Farhan sekali lagi, pintu kayu itu diketuk perlahan.

            “Waalaikumussalam.....” Tergesa-gesa pintu dikuak dari dalam. Wanita separuh usia itu memandang anak bujangnya yang berdiri di tepi tangga dengan senyuman melebar. “Farhan...kenapa tak cakap nak balik? Kalau Farhan cakap, mak siapkan macam-macam....” Makcik Timah menghampiri anak lelakinya, diusap pipi putih itu lembut.

            “Tak payah susah-susahlah mak....Farhan balik ni pun sekejap aje. Dua tiga hari dah kena balik KL balik....” Farhan mengambil tangan ibunya sebelum disalam dan dikucup lembut. “Mak, sihat?” Bibirnya tersungging senyuman manis.

            “Sihat, Farhan....” Beg baju anak terunanya diambil sebelum dibawa ke dalam rumah.

            “Mak buat apa? Farhan balik sampai tak dengar....” Khaireel Farhan menoleh ke arah ibunya yang baru melangkah masuk ke dalam rumah, membuka jendela-jendela rumah yang tertutup rapat.

            “Mak tengah masak kat dapur, tak perasan lah nak oi....Marilah pergi dapur, mak dah nak siap masak. Makan panas-panas sedap sikit.....” Makcik Timah menarik tangan anak lelakinya menuruni anak tangga ke bawah. Rumah papan tinggi itu masih utuh kemelayuannya. Kadangkala ada juga dia meminta kebenaran ibunya mahu membina rumah batu yang lebih kukuh, tetap tidak mahu. Katanya banyak kenangan yang tinggal di dalam rumah itu. Dia hanya mampu akur. Sudah berpuluh tahun rumah kayu itu dihuni, masih cantik luar dalamnya yang menyimpan nostalgia indah. Tidak sanggup rasanya hendak dirobohkan, walau diganti dengan yang baru sekalipun. Tetap terasa saying..

            “Mak masak apa? Lauk kegemaran Farhan ke?” Khaireel Farhan memeluk ibunya manja. Rindu sungguh pada masakan ibunya. Sesekali pulang ke kampung mahu juga merasa air tangan wanita tua itu.
Makcik Timah mencubit pipi anak lelakinya yang kelihatan kurus dan kekurangan tidur, mungkin terlalu letih dengan latihan rutin. “Tu lah mak cakap, nak balik bagitahu.... Mak nak masak banyak-banyak, mak makan sendiri aje....”

            “Sambal belacan mak dengan ulam ada?” Raut wajahnya teruja.

            “Mesti ada, tak pernah tak ada...” Makcik Timah ketawa kecil, tahu saja kegemaran anak lelakinya apa.

Khaireel Farhan menggigit bibir bawah, air liur ditelan perlahan. “Ni yang tak sabar nak makan ni....”

            Kerusi meja makan ditarik, punggungnya dilabuhkan cepat-cepat. Sesekali dia membetulkan duduknya yang kurang selesa. Mangkuk nasi di hujung meja, dicapai sebelum ditaburkan separuh senduk nasi ke dalam pinggan.  Sambal belacan bersama ulam dan nasi putih, sudah cukup. Tidak ada lauk lain pun tidak mengapa. Seleranya selalu sahaja bertambah bila di kampung. Hari-hari lauk yang sentiasa dijaga nutrien dan proteinnya di pusat latihan, sesekali dapat menjamah masakan kampung, terus tidak ingat dunia.