BAB 10


        Dulang makanan yang dipegang dari kaunter dihempaskan perlahan atas meja. Sakit hati betul pasal malam tadi. Kalau lah dia boleh berfikiran waras, pasti tidak terlepas peluang menemuramah Khaireel Farhan. Lehernya digaru-garu, mencari akal.

            Mee kari di dalam mangkuk, dikacau-kacau dengan sudu. Sudah sejuk, tidak berselera hendak ditelan. Kuah kari cair di dalam mangkuk dihirup dengan sudu. Argh! Tak peduli lah. Aku kena makan dan hidup macam biasa. Takkan kerana Khaireel Farhan terus putus semangat. Dia yakin masih banyak lagi peluang menemuramah Khaireel Farhan di masa hadapan. Waktu itu, dia akan berusaha dengan lebih baik menunjukkan prestasi diri.

            Senyumannya melebar, sudu di dalam mangkuk dicapai. Mee kari disumbat ke dalam mulut penuh. Sesekali disedut teh ais di dalam gelas.

            “Aku rasa dia gay lah....Kalau tak kenapa tak ada berita dia dengan mana-mana perempuan...” Suara-suara sumbang di belakang membantutkan seleranya. Meisya Raziela memasang telinga. Diorang cakap pasal siapa?

            “Agaknya kaki perempuan... Khaireel Farhan kan handsome, apa lagi, gunakanlah kelebihan yang ada....Si Meisya tu, bukan dia tahu pun, selalu tulis yang baik-baik aje pasal Farhan....Macam lah Farhan seorang aje pemain bola sepak kat Malaysia..” Gelak tawa mereka menjengkelkan. Meisya Raziela menahan geram, sukahati nenek diorang saja mengutuk Khaireel Farhan!

            Meisya Raziela berpaling, mahu memarahi rakan-rakan wartawan syarikatnya yang tidak tahu menghormati orang lain. Kalau iya pun hendak mengutuk, pandang-pandanglah belakang. Jangan sedap mulut mengata yang bukan-bukan.

            “Kora....” Belum sempat Meisya Raziela meluahkan kemarahannya, kelihatan Johan buru-buru memasuki dewan makan syarikat penerbitan majalah dan suratkhabar itu.

Dia menyapa beberapa orang di meja paling depan, “Meisya mana? Meisya!”

            Alamak, apa dia buat dekat sini. Meisya Raziela menggigit bibir, pasti dia teruk dimarahi nanti. Pasti bosnya itu mahukan berita yang dijanjikan. Meisya Raziela cepat-cepat meneguk air di dalam gelas, sebelum menangkap beg kamera di kerusi sebelah. Dia tergesa-gesa keluar dari dalam bilik makan,  melarikan diri.






            Senarai soalan di atas kertas A4 dalam genggamannya dibaca dan dihafal satu-persatu. Harap-harap dia tidak lupa bila berhadapan dengan Khaireel Farhan nanti. Kertas itu kemudian dimasukkan ke dalam poket beg, dia mengambil kamera merakamkan gambar-gambar pasukan bola sepak negara membuat latihan rutin. Hari ini jurulatih mereka mengadakan sesi terbuka bersama wartawan supaya orang ramai tahu rutin dan usaha keras pemain.

                Menjelang sukan olimpik pada tahun hadapan, mereka akan berhadapan dengan pasukan-pasukan hebat di rantau ini untuk ujian kelayakan memboloskan negara ke dalam sukan berprestij tinggi dan dikagumi dunia itu.

                Sebaik sahaja jurulatih mengumumkan rehat, semua wartawan berebut-rebut mendapatkan jurulatih berketurunan cina itu. Satu-persatu soalan terlontar keluar. Meisya Raziela hanya mendengar dan mencatat setiap butir bicara pemimpin pasukan itu.

                Kelibat pemain-pemain bola sepak skuad kebangsaan yang beransur-ansur ke tepi padang, berehat, menarik perhatian wartawan. Selesai sahaja temuramah bersama jurulatih, mereka terus mendapatkan seorang-seorang pemain yang diberi kepercayaan untuk bermain pada ujian kelayakan nanti.  Meisya Raziela menghampiri Khaireel Farhan. “Farhan...”

                Khaireel Farhan hanya memandang. Lambat-lambat dia berdiri dengan mesra.

                “Awak.....” Dia tergagap-gagap lagi!

                Lelaki itu merenung Meisya Raziela lama. Mencari soalan yang gadis itu cuba lontarkan
Meisya Raziela meluahkan sekali nafas, “betul ke awak gay?”

                Wartawan-wartawan lain yang baru menghampiri mereka kaku. Biar betul, soalan itu keluar dari mulut wartawan sukan? Khaireel Farhan turut kaku. Dia memandang muka-muka di depannya, mendiamkan diri saja. Lambat-lambat dia beredar.

                “Haish..Farhan, bukan itu sebenarnya soalan saya...” Meisya Raziela cuba mengejar. Gelak-tawa kecil di belakang, menghentikan perbuatannya. Lagi sekali! Meisya!!!