BAB 3


Satu-persatu tulisan bertaip komputer di atas permukaan kertas diamati berhati-hati. Ketua editor syarikat penerbitan majalah dan suratkhabar itu ketawa kecil, ada bait-bait perkataan yang tidak terlangkau dek fikirannya. Setiap perkataan punya emosi yang berbeza-beza dicoretkan bersama. Meisya Raziela sememangnya tidak dinafikan caranya menarik perhatian pembaca. Tulisan dan setiap butiran sungguh mengagumkan.

            Sekejap kertas itu dibelek depan belakangnya, sekejap kaku dipegang begitu sahaja.

            “Kalaulah you boleh tulis sebaik ni untuk sukan lain....” Ketawa kecilnya masih bersisa. Johan menangkap baris perkataan di atas kertas. “Meisya..Meisya...Kalau bukan sebab you wartawan sukan sensasi yang berkaliber, kerana Khaireel Farhan pun I takkan ambil you...” Entah rungutan atau pujian yang diluahkan. Sama sahaja butir bicaranya. Seperti tidak mampu dibezakan lagi.

            Meisya Raziela melabuhkan punggung di kerusi biru betul-betul depan ketuanya, kasar. Siap sahaja artikel yang ditulis di rumah tadi, terus dia bergegas ke pejabat dan diserahkan laporan itu kepada ketuanya.  “Ala bos ni.... I dah bagi shot dengan berita terbaik ni....Confirm sampai tak cukup-cukup newspaper kita kat market esok...”

            Wajahnya mencuka, sempat lagi berlawak kosong meraih simpati atas usaha keras yang ditabur.

            “Apa yang tak terbaik bagi you kalau pasal Khaireel Farhan?” Kepalanya digeleng-gelengkan. Johan menghenyakkan kertas di atas meja. Desahan layu terlontar kasar. Bukan dia tidak tahu perangai Meisya Raziela, hanya ada nama Khaireel Farhan di tulisan dan lensa kameranya. Nama sahaja wartawan sukan, tetapi berita tentang Khaireel Farhan yang lebih.  Bila betul-betul tidak ada berita tentang Khaireel Farhan, baru terhegeh-hegeh hendak mendapatkan berita sukan lain. Sudah seperti akhbar  edisi khas Khaireel Farhan pula bila diamati betul-betul!  Naik botak kepala memikirkan wartawannya yang satu itu.
           



            Buku lali kaki kanannya dipicit-picit. Semasa tendangan bola minit pertama semalam, kaki kanannya tertendang padang kuat. Terasa sakit bila memijak tanah. Tetapi semasa di padang semalam, dia tidak terasa apa-apa. Cuma kebas yang kemudian menghilang terus. Entah kenapa masih juga terasa mencucuk-cucuk.

            “Hoi!” Faez mencampakkan botol air mineral kepada kawan baiknya.

            “Thank...” Penutup botol terus dibuka, sebelum air putih jernih itu diteguk melewati tekak yang mengering.

 Faez merenung kaki Khaireel Farhan, sejak tadi lelaki itu yang ralit mengosok-gosok kaki menimbulkan tanda soal di kepalanya, “apasal? Kaki kau tak okey ke?”

            “Mana ada lah... Aku tengok tumit kaki aku aje, macam pecah-pecah.....” Dia mengelak. Bukan kecederaan serius pun, mungkin terseliuh sedikit. Sekejap nanti baik lah. Telefon bimbitnya berdering, Khaireel Farhan senyum nipis. Faez mencebik sebelum ketawa kecil, dia memberi isyarat hendak berlalu ke tengah padang terlebih dahulu. “Assalamualaikum, mak...” Panggilan dari ibunya di kampung dijawab lembut.

            “Mak sihat? Ha’ah..Ada latihan sekarang....”

            “Balik? Bila Farhan dapat cuti, Farhan baliklah....” Senyumnya melebar. Sesekali mata sepet itu menjauh ke tengah padang, memerhati rakan-rakan lain yang tidak berhenti berusaha membuat latihan biasa. Bibirnya kemas menguntum senyum, banyak yang mahu dikongsikan bersama ibu tercinta jauh nun di utara, banyak cerita yang menunggu masa untuk dilontarkan menghitung seribu gelak tawa dan senyuman. Sesungguhnya dia mahu dunia yang ditakdirkan itu dikongsi bersama insan tersayang yang selalu ada menemani  setiap kesukaran dan kegembiraannya.