BAB 12


      Bas mini berhenti di depan perhentian bas yang sudah usang di hujung bandar Alor Setar. Meisya Raziela menuruni anak tangga beberapa kerat sebelum melabuhkan punggungnya di kerusi batu perhentian bas. Sinar matahari petang yang membahang, ditepis dengan tangan. Akhirnya sampai juga dia di situ, di kampung Khaireel Farhan. Walau dia sendiri tidak mengerti mengapa dia harus berada di situ, yang pasti dia bukan semata-mata hendak menyelongkar dan memperkotak-katikkan hidup Khaireel Farhan. Dia lebih selesa berada di situ, dari menunggu mati di Kuala Lumpur, di pejabatnya, di depan bosnya Johan.

            Kakinya diatur ke simpang jalan masuk kampung. Dia merenung pokok-pokok yang merendang di sekelilingnya. Pasti banyak dusun buah-buahan di situ. Jam tangan yang melingkari pergelangan tangan kanannya dikerling sekali. Ada kah motel atau hotel dekat-dekat situ? Hanya rumah kampung dan pokok-pokok yang menghijau saja kelihatan di ruang mata.

            Pangkin bawah pokok rambutan di depan kedai runcit kecil, mengundang senyum. Meisya Raziela pantas berlalu ke pangkin kayu itu dan melabuhkan punggungnya. Komputer bimbit di dalam beg dikeluarkan, dia mencari-cari isyarat jalur lebar. Sekejap ada sekejap tidak ada, kemudian hilang terus. Meisya Raziela menarik nafas kasar, perutnya berkeroncong, berbunyi-bunyi minta diisi penuh.

            Dia menggaru-garu kepala. Sebungkus roti krim berperisa jagung di dalam beg, dikeluarkan sebelum dibuka bungkusannya. Beberapa kali disumbat ke dalam mulut, roti panjang kecil itu sudah habis ditelan. Pandangannya mahu diterjunkan ke skrin komputer bimbit, seorang wanita yang melalui tepi pangkin terkocoh-kocoh mendapatkan barangnya yang jatuh akibat plastik nipis yang menutupi semuanya terkoyak menangkis bebanan berat.

            Meisya Raziela tergesa-gesa mendapatkan wanita itu, “biar saya tolong....”

          “Eh...” Wanita itu mahu menghalang, Meisya Raziela sudah meletakkan semua barang yang dikutip ke atas pangkin.

         “Tak apa....” Gadis itu menatap barang-barang kecil di atas pangkin, bagaimana mahu mambawanya, plastik sudah terkoyak. Dia mendapat akal. Kedai runcit di depannya dijeling, dia segera berlalu ke dalam kedai. “Sekejap ya....” Lambat-lambat dia keluar dari dalam kedai bersama plastik merah besar, senyumannya melebar.

Wanita separuh abad itu senyum nipis, “terima kasih lah nak ya....”

            “Sama-sama....Biar saya tolong masukkan...” Meisya Raziela mengambil satu-satu barang di atas pangkin sebelum dimasukkan ke dalam plastik.





            “Terima kasih ya, buat susah kamu aje....” Makcik Timah mengambil beg plastik dari tangan Meisya Raziela, sebelum diletakkan di atas tangga rumah. Segelas air sejuk dihulurkan kepada gadis itu.

            “Tak apalah makcik...tak susah pun....” Senyum Meisya Raziela melebar, gelas air sejuk itu disambut mesra, sebelum diteguk air di dalamnya separuh. Dia mengadap cahaya matahari terang, mencari jalan di depan yang dia patut pergi. “Makcik, Meisya pergi dulu lah, ada benda lagi nak buat ni....” sambung Meisya Raziela, bibirnya masih kemas dengan senyuman, menghulurkan tangan mahu menyalami Makcik Timah. Pandangannya menyorot ke dalam rumah, bila pintu kayu itu terbuka luas ditolak angin. Gambar sekeluarga itu macam pernah dilihatnya. Matanya dikecilkan cuba mengamati, sepantas kilat dia memandang wanita tua di depannya.

            “Kenapa, nak?” soal Makcik Timah.

          “Makcik....Ahh..tak ada apa-apa lah... Saya pergi dulu ya makcik....” Meisya Raziela bingkas meminta diri, dia teragak-agak hendak berlalu.

            Rupa-rupanya wanita tua dan rumah itu.... Khaireel Farhan... rumah Khaireel Farhan, ibu Khaireel Farhan.... Kebetulannya..

            Meisya Raziela senyum nipis melewati wajah dan rumah itu. Haruskah dia tinggal di situ? Mencungkil dan menyelongkar segala yang ada, sedangkan wanita itu begitu mempercayai pada dirinya yang datang ke situ dengan tidak berniat...






**MINIT TERAKHIR masih belum berakhir, nak tahu kisah seterusnya, sila dapatkan buku ini OK!