BAB 8


“Nazim...pass bola....!” Jurulatih Kim menengking anak buahnya yang masih tidak faham-faham cara permainan. Sudah diberitahu berulang-ulang kali, jangan pentingkan diri sendiri dan hanya mahukan nama sendiri. Jika sikap itu diteruskan, maka bukan kemenangan yang akan dijulang, tetapi pulang dengan kecewa saja. Permainan bola sepak, memerlukan semangat kesukanan dan berpasukan.  Bekerjasama antara satu sama lain, bertenang ketika menentang pasukan lawan, barulah semuanya akan berjalan dengan baik. Jika hanya mementingkan diri hendak membawa bola sendirian, hanya mahu berebut-rebut menggolkan bola, tidak usah menjadi pemain bola sepak, lebih baik cari sukan lain yang sesuai dengan sifat seperti itu.

            “Berhenti rehat 10 minit...!” Suara Jurulatih Kim kedengaran geram.

            “Aku dah cakap, jangan pass bola sesukahati, tengok kanan kiri depan dulu. Nak lambung tinggi pun kena tengok siapa yang terima. Jangan bazirkan masa kejar bola ke sana ke mari!” Amarah jurulatih itu masih belum terluah habis.

            Khaireel Farhan menanggalkan sarung tangan, diletakkan di atas batu tempat duduk. Penutup botol air mineral dibuka sebelum diteguk separuh isi di dalamnya. Pandangannya dialihkan ke arah pemain-pemain tengah dan penyerang yang berjalan ke tempat duduk masing-masing, raut muram saja yang ditunjukkan. Apa tidaknya, telinga-telinga itu sudah hampir berdarah mendengar jerit pekik maki hamun jurulatih.

            Faez memberi isyarat kepada Khaireel Farhan supaya memerhatikan jurulatih mereka. Lelaki itu asyik marah-marah dan menengking mereka hari ini. Penjaga gol pasukan negara itu hanya menjungkit bahu tidak tahu. Keningnya diangkat sebelah, hanya senyuman nipis yang diluahkan. Mana mungkin dia tahu kenapa jurulatih mereka naik angin, mungkin dia bergaduh dengan isteri, mungkin baru kena marah dengan persatuan bola sepak, siapa tahu?

            “Ke mana? Janganlah pergi mana-mana, aku takut....Hehe...” Sempat dia berlawak melihat Khaireel Farhan hendak beredar.

            “Gila betul....Nak pergi tandas...” Dia mencebik sinis, ada hati lagi hendak main-main rupanya budak itu. Dia cepat-cepat berlalu ke dalam bangunan pusat sukan negara.






            Pintu bilik persalinan pemain-pemain bola kebangsaan ditolak perlahan. Langkahnya setapak ke dalam, masih teragak-agak. Tangannya disatukan berdoa di dalam hati.

                “Nazim....Iqbal.....” Jemarinya menyentuh nama di atas lokar. Bau peluh dan lelaki bujang kuat memenuhi bilik sempit itu. Nama pun bilik persalinan, pasti saja ada bermacam-macam bau dan benda! Meisya Raziela menutup mata, seluar pendek tergantung di kerusi sungguh menjijikkan. Jangan ada benda lain yang lebih dahsyat sudahlah...

            Satu persatu lokar dibuka, barang-barang kecil di dalamnya dibelek berhati-hati. Tidak ada benda yang menarik pun. Cuma barang peribadi yang penting dan kurang penting. Lokar Khaireel Farhan dikuak perlahan, dia sempat menoleh beberapa kali ke arah pintu masuk. Dompet kulit coklat di dalamnya, dikeluarkan.  Tiada apa-apa yang bagus pun. cuma ada kad bank dan beberapa keping duit kertas. “Dia betul-betul tak ada girlfriend ke?” Meisya Raziela ketawa kecil.

            Hendak mengambil telefon bimbit di bawah lipatan baju, jemarinya tertarik sekali baju bersih di dalam lokar. Cepat-cepat dilipat semula, harap-harap Khaireel Farhan tidak perasan lokarnya diselongkar. Meisya Raziela pantas menutup lokar, pandangannya dicerunkan ke bawah, sekeping gambar di sebelah kakinya diambil. Dia membongkok menatap gambar sekeluarga itu. Senyuman di bibir itu sungguh manis. Tiada garis-garis kecewa dan marah, hanya secebis senyuman yang menunjukkan betapa dia gembira berada di situ, di tengah-tengah kedua orang tuanya. “Kenapa sekarang senyuman ni macam dah hilang?”

            Pintu tiba-tiba ditolak dari luar.

            Meisya Raziela kaku. Derapan tapak kaki di belakang menjerut pernafasannya yang semakin sesak. Siapa yang sedang menghampirinya? Khaireel Farhan kah?

            “Hello.....” Ya, suara itu. Khaireel Farhan. Apa dia buat dekat sini? Kenapa tiba-tiba masuk bilik pula, matilah aku! Meisya Raziela mengetap gigi ketat, gambar di dalam tangannya digenggam kuat. Baju pekerja pembersihan yang tersarung ditubuhnya, dibetulkan. Perlahan-lahan dia menyusun langkah ke pintu belakang. Panggilan Khaireel Farhan langsung tidak dipedulikan.

            Pintu ditutup rapat, nafas lega yang tersumbat di tekak diluahkan kemas.  Mukanya ditekup dengan kedua belah tangan. Mahu terbakar mukanya menahan perasaan itu. Handsome-nya suara Khaireel Farhan...Handsome, handsome...hehe Dia menggigit bibir teruja.