BAB 6


       Sawah yang menghijau memenuhi mata sedap sekali dipandang, bunyi kicauan burung dan kocakan air yang entah gurauan ikan keli atau ular air menyusun irama pagi yang redup. Selangkah, demi selangkah,  pengaturan yang tiada penghujung. Hanya berlegar-legar dibumi Tuhan, mencipta satu hari yang berbeza. Khaireel Farhan senyum puas, udara segar yang menyusup masuk ke dalam rongga hidung, sungguh mendamaikan. Aturan kakinya ingin di atur semula, tiba-tiba sebuah basikal berhenti mengejut. Dia terpana, lambat-lambat senyuman menular layu.

            “Eh, abang Khaireel.. bila balik?” Soal anak gadis ketua kampung, tergesa-gesa menghala ke pekan. Barangkali mahu membeli sesuatu.

            “Baru sampai semalam. Cuti sehari dua aje.... Nak pergi mana ni?” Matanya melilau ke dalam bakul. Hanya ada sebuah beg tangan di dalam raga basikal tua itu.

Senyuman gadis itu manis sekali.

            “Jalan-jalan cari pakwe...hehe....” Bisiknya nakal. Khaireel Farhan mengangkat kedua belah kening, diamati kata-kata itu sepuasnya. “Abang Khaireel percaya ke? Nak pergi beli barang kat pekan lah....Eh, Fatin dah lambat ni...Oh ya, bila abang Khaireel balik KL nanti jangan lupa kirim salam kat abang Faez tau, tau... bye...” Suaranya hilang-hilang seperti basikal tua itu yang sudah semakin menjauh  meninggalkan bunyi tayar mencarik tanah merah.

            Khaireel Farhan menguntum senyum. Fatin masih seperti dulu, nakal dan manja. Anak gadis itu sudah habis SPM, mungkin mahu mencari kerja dan bergembira sedikit. Langkahnya diteruskan entah ke mana, mungkin ke hujung dunia. Di suatu tempat yang dia masih belum pasti.

Bunyi deruman motor dibelakang, kuat memekak. Sambil lalu sempat lagi dia menyoal. “Farhan, balik bercuti?”

            “Ah, ya...” Teriaknya ringkas. Senyuman dibibir itu semakin menipis. 10 tahun lalu tiada sesiapa mengenali Khaireel Farhan, 10 tahun lalu tiada sesiapa yang menyapa dan menyoal begitu mesra. Selepas dia menjadi pemain bola sepak negara, lemparan ucapan dan kemesraan jelas sampai tidak cukup-cukup untuk diluahkan semula. Itulah hakikat hidup yang Tuhan sengaja tunjukkan bagaimana duniaNya berputar, bagaimana hambaNya berfikir dan berkata-kata....






            “Ahh..penat....Abang nak balik, dah nak masuk waktu maghrib ni.... Adik-adik semua pun balik rumah mandi, solat, ya...” Khaireel Farhan termengah-mengah.  Selalu menjadi penjaga gol sahaja, hari ini tiba-tiba mahu menjadi penyerang pula bila terpandang keseronokan anak-anak kampungnya bermain bola di padang yang basah lagi becak. Bajunya yang bersalut lumpur coklat, ditanggalkan. Tinggal seluar pendek sahaja menutup tubuh sasa itu.

Remaja belasan tahun itu ketawa riang, “abang Farhan memang hebat! Suatu hari nanti saya nak jadi macam abang..”

            Dia menumbuk dada bidang Khaireel Farhan lembut, menunjukkan betapa dia berazam mahu mencapainya.

            “Insyaallah.... Berusahalah, abang doakan....” Khaireel Farhan angguk sekali. “Hati-hati balik...” Ujar lelaki itu separuh menjerit.

            Mukanya diraup dengan baju. Letih, tetapi puas sungguh. Lama juga dia tidak bermain dengan gembira begitu. Air di dalam tempayan di bawah tangga, diceduk sebelum disiram kakinya yang kotor.  Baju kotornya turut di pijak-pijak dengan kaki, membuang lumpur dan kotoran.

            “Lah..Farhan, pergi mana? Mak ingat Farhan dah balik, tengok dalam bilik, barang ada lagi.... Ni kotor-kotor ni buat apa?” Makcik Timah meleter panjang. Kepalanya digeleng-gelengkan melihat anak lelakinya yang pulang dengan badan dipenuhi lumpur kotor.

            “Main bola lah mak...” Dia tersengih.

            “Bola, bola, bola.... Kalau tak main bola satu hari tak boleh agaknya....” Makcik Timah mencebik.

            Khaireel Farhan hanya tersengih mendengar ibunya membebel. Cukup-cukuplah mak oi, anak mak ini terlalu cintakan bola, orang sedang hangat bercinta, susah hendak dipisahkan. Itu dengan bola, dengan manusia lagi lah susah. Selagi tidak jemu dan rasa puas, hanya satu itu yang mahu ditatap dan dibelai....