BAB 11


         Majalah sukan di kepala katil, dicapai sebelum dibaca sambil berbaring. Beberapa kali dia menguap menahan rasa mengantuk yang hanya mahu menghimpit diri. Tiba-tiba dia teringat tentang wartawan perempuan di padang kelmarin. Gay? Biar betul..Macam-macam hal wartawan sekarang. Kepalanya digeleng-gelengkan, lucu bagaimana soalan itu boleh muncul.

            Mukanya ditutup dengan majalah. Sudah tidak bisa lagi memikirkan itu ini. Dia cukup letih sepanjang hari menjalani latihan. Sukahati orang di luar hendak berkata dia sebagai apa, yang penting dia bukan begitu. Kalau hendak memuaskan hati semua orang, sememangnya tidak mencukupi ruang yang ada untuk diisi. Payah sekali. Khaireel Farhan merenung siling bilik, hanya menenggelamkan perasaan sendiri yang dia tidak tahu sedang berada di mana.

            Dompet kulit di bawah bantal, diambil sebelum dibuka mencari gambar keluarganya. Dahinya berkerut, dikorek setiap ruang yang ada, gambar itu tiada pula. Dia tertinggal di lokar kah? Khaireel Farhan menepuk dahi, pasti begitu. Matanya digosok-gosok lembut.

            “Farhan, esok teman aku pergi Bukit Bintang...” Faez meletakkan beg sukan di atas katil.

            “Buat apa?” Soal penjaga gol itu acuh tidak acuh. Dia mengambil semula majalah di tepinya, dibelek perlahan. Sepasang mata sepet itu beralih ke katil bawah apabila tiada sahutan yang menjengah. Seluruh tubuh sudah dipusingkan mengadap pemain utama yang tinggal sebilik dengannya.

Faez ralit membuka stoking, “aku nak masuk duit ar...adik aku kat kampung nak guna duit....”

            “Pergi aje lah bank dekat-dekat sini....” Malas pula dia hendak keluar besok. Keluhan jelas terluah di raut wajahnya. Biarpun mereka cuti besok, tetapi rasanya keletihan yang menyerap diri lebih utama mahu disurutkan.

                “Sambil-sambil tu kita boleh jalan-jalan....Jomlah....” Faez sudah berdiri mengadap Khaireel Farhan di tepi katil. Keningnya diangkat menunggu jawapan. Bagaimanapun temannya hanya berdiam diri. Lambat-lambat dia angguk akur juga.






            “Bagi teh tarik dengan rojak mee, bungkus ya...” Meisya Raziela berdiri di depan kaunter, sesekali membetulkan beg kameranya yang asyik mahu jatuh. Dia melangkah ke meja kosong berdekatan kaunter. Pandangannya menyorot ke dalam ruang kedai. Seorang lelaki di sudut tepi kedai bahagian dalam sedang makan membelakangi pintu masuk, menarik perhatiannya. Meisya Raziela mengamati belakang badan lelaki itu, Khaireel Farhan kah? Wajah di depannya turut dikenali, Faez, pemain bola sepak. Benarlah, lelaki itu.

            “Khaireel Farhan?” Meisya Raziela menghampiri kedua-dua lelaki di meja hujung. Ternyata mereka terkejut dengan kehadiran wartawan itu di sisi mereka.

            “Ah...” Faez memandang Khaireel Farhan yang seperti tidak menyenangi kedatangan wartawan itu.
Meisya Raziela cepat-cepat menarik kerusi, duduk berhadapan dengan Khaireel Farhan, “Farhan, saya Meisya wartawan sukan Malaysia news....Maafkan saya tentang hari itu...”

Khaireel Farhan ketawa kecil. Wartawan sukan rupanya, ingatkan wartawan gosip.

         “Boleh saya...” Belum sempat Meisya Raziela melontarkan soalan meminta izin membuat temuramah, Khaireel Farhan mencapai telefon bimbit dan dompet di atas meja, hendak beredar.

            “Maaf, saya ada hal...” Dia mengelak.

            “Farhan...” Meisya Raziela turut berdiri, menghalang  jalan.

            “Cik Meisya...” Faez cuba membantu meleraikan kedegilan gadis itu.

Meisya Raziela masih menghalang, “please, lima minit aje.. tak lama. Saya minta maaf pasal hari tu.. benda tu...”

            “Cik Meisya, saya tak ambil hati pasal hari tu. Sekarang saya betul-betul tak nak ditemuramah...” Khaireel Farhan meminta diri secara baik.

            “Farhan...!” Meisya Raziela menarik tangan Khaireel Farhan, lelaki itu terpana. Beberapa mata memandang mereka. Khaireel Farhan melihat tangan wartawan sukan yang menggenggam tangan kanannya. Meisya Raziela tertunduk, perlahan-lahan akur melepaskan.

            “Bos kira...” Faez meletakkan duit kertas di atas kaunter. Sesekali menoleh ke arah kawan baiknya yang sudah berjalan keluar.

            Meisya Raziela hanya mampu membiarkan tubuh itu menghilang. Dia mendiamkan diri di situ. Nafasnya lemah menyusur keluar.